ARMADA BERSATU Malaysia menggesa kerajaan mengambil pendirian lebih tegas berhubung layanan terhadap masyarakat Islam di China susulan laporan mengenai tindakan terhadap seorang guru Muslim di Xunhua, Qinghai yang memakai tudung ketika menjalankan tugas sebagai pendidik.
Ketua ARMADA BERSATU Selangor yang juga Exco ARMADA BERSATU Malaysia, Na’im Brundage berkata, pihaknya memandang serius laporan bahawa guru berkenaan dikenakan tindakan selepas memakai tudung ketika mengajar di Qingshui Township Central School.
Menurut beliau, perkara itu lebih membimbangkan kerana Xunhua merupakan sebuah daerah autonomi yang menjadi antara pusat utama masyarakat Salar, komuniti minoriti di China yang majoritinya beragama Islam.
“Tindakan terhadap seorang wanita Muslim kerana melaksanakan kewajipan agamanya ketika bekerja mencerminkan kegagalan pihak berkuasa untuk menghormati hak beragama serta identiti golongan minoriti di negara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Na’im berkata, isu berkenaan juga perlu dilihat dalam konteks kebimbangan lebih luas mengenai layanan terhadap masyarakat Uyghur dan minoriti Muslim lain di China.
Menurutnya, pelbagai laporan hak asasi antarabangsa sebelum ini telah membangkitkan isu berkaitan sekatan terhadap amalan agama, pengawasan, penahanan serta tekanan terhadap identiti budaya dan agama masyarakat Uyghur di Xinjiang.
Sehubungan itu, ARMADA BERSATU Malaysia menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Luar Negeri, mendapatkan penjelasan rasmi daripada kerajaan China berhubung perkara berkenaan.
Pada masa sama, Na’im berkata Malaysia perlu menyatakan pendiriannya dengan jelas dalam mempertahankan hak masyarakat Islam tanpa membiarkan kepentingan ekonomi menjadi faktor yang mengehadkan pendirian negara.
“Hubungan perdagangan dengan China penting, tetapi ia tidak boleh menjadi alasan untuk Malaysia berlembut apabila hak umat Islam dicabuli.
“Kerajaan mesti mengambil pendirian yang tegas. Prinsip, maruah dan hak umat Islam tidak patut dikompromi demi kepentingan perdagangan,” katanya.
⌕